Rokok seludup RM1.1 juta dirampas di Perak

Nor Omar menunjukkan rampasan rokok seludup dalam pemeriksaan di tepi jalan kawasan Kampung Bharu, Seri Manjung, pada Rabu.
Nor Omar menunjukkan rampasan rokok seludup dalam pemeriksaan di tepi jalan kawasan Kampung Bharu, Seri Manjung, pada Rabu.
A
A
A

MANJUNG - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok seludup melibatkan rampasan RM1.1 juta di tepi jalan kawasan Kampung Bharu, Seri Manjung di sini pada Rabu.

Pemeriksaan sekitar jam 12.30 tengah malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung itu menemui 377 kotak mengandungi 24,790 karton rokok disembunyikan di dua lori yang dalam perjalanan dari arah Segari ke Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemandu lori masing-masing berusia 30 dan 56 tahun bersama rakan mereka berusia 29 tahun yang memandu kereta Perodua Kancil ditahan dalam kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mereka menerima upah RM5,000 untuk membawa dan menghantar bekalan rokok berkenaan ke satu lokasi yang ditetapkan.

"Polis telah menjalankan risikan selama dua minggu sebelum membuat penahanan ini dan kita akan jalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada mereka ini hanya bertindak sebagai transporter semata-mata atau benar-benar terlibat dalam sindiket.

"Berdasarkan semakan, ketiga-tiga mereka yang beralamat di Manjung bekerja sendiri, pemandu lori pula masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah," katanya dalam sidang akhbar di IPD Manjung di sini, pada Khamis.

Nor Omar (kanan) menunjukkan dua lori dan sebuah kereta yang turut disita hasil pemeriksaan di tepi jalan kawasan Kampung Bharu, Seri Manjung, pada Rabu.
Nor Omar (kanan) menunjukkan dua lori dan sebuah kereta yang turut disita hasil pemeriksaan di tepi jalan kawasan Kampung Bharu, Seri Manjung, pada Rabu.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan bekalan rokok berkenaan diperoleh dari luar Perak dan Manjung mungkin dijadikan lokasi laluan barangan ke destinasi seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Semakin mendapati, lori digunakan milik syarikat beralamat di Batu Caves dan Petaling Jaya. Sekiranya didapati terlibat, siasatan dan tindakan sama juga akan dikenakan ke atas syarikat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Nor Omar berkata, semua kenderaan terlibat disita dan wang tunai RM5,000 dipercayai sebagai upah serta beberapa telefon bimbit milik kesemua suspek turut dirampas.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 11 Januari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!