Wan Hassan dilantik Ketua Polis Kedah baharu
ALOR SETAR - Bekas Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu pada Khamis.
Wan Hassan, 55, yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengantikan Datuk Kamarul Zaman Mamat yang dilantik sebagai Ketua Polis Johor.
Kamarul Zaman menggantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan akan memulakan tugasan pada minggu hadapan.
Pada majlis serah terima tugas tersebut, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain turut melaksanakan upacara pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Wan Hassan di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Dalam ucapan Razarudin dan Kamarul Zaman, mereka berharap Wan Hassan dapat terus memacu Kontinjen Polis Kedah ke tahap lebih baik berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luasnya bersama badan uniform tersebut sebelum ini.
Wan Hassan menyertai PDRM pada 1995 dan sepanjang berkhidmat pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan dari 2014 hingga 2016 dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak dari 2016 hingga 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!