Kerajaan Kelantan sasar 10,000 peluang pekerjaan

Ahmad (tengah) melakukan imbasan kod sebagai gimik perasmian sebuah buku di Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu pada Khamis.
Ahmad (tengah) melakukan imbasan kod sebagai gimik perasmian sebuah buku di Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan di Kelantan bagi membantu meningkatkan kembali ekonomi dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia merupakan salah satu fokus pembangunan negeri 2022 yang diberikan perhatian selain isu menangani masalah sosial serta meningkatkan taraf kebersihan negeri.

"Peluang pekerjaan ini disasarkan mengikut keluaran hasil di setiap kawasan melibatkan pembukaan kilang dan peluang-peluang projek pembangunan baru yang diteroka.

"Selain itu, hasrat kita untuk tangani masalah gejala sosial dan meningkatkan kesedaran kebersihan dalam negeri. Kita mahu lebih baik lagi daripada apa yang kita ada sekarang, capai kejayaan lebih besar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darul Naim, di sini.

Sementara itu, Ahmad semasa menyampaikan ucapan di majlis berkenaan memberitahu, 10 skop atau perkara utama telah dirumuskan untuk dilaksanakan semua penjawat awam tahun ini.

Antaranya melibatkan keseimbangan, keutamaan, kolaboratif, kebersamaan, sebaran maklumat, kepedulian, atasi kelemahan, melakukan penilaian, keterbukaan dan integriti.

"Jika kita bekerja setulus niat, akan dinilai sebagai ibadat. Andai pekerjaan kurang cermat akan tersasar daripada matlamat, andai bekerja dengan teliti, hasilnya pasti memuaskan hati. Jika pekerjaan memberi manfaat, pahalanya juga menjadi bekal akhirat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!