Sungai Gong tidak keruh lagi
SHAH ALAM - Kualiti sumber air Sungai Gong yang dahulunya keruh kini lebih bersih susulan Projek Perintis Bio-remediation yang dijayakan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).
Air Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) oleh kerajaan negeri Selangor menunjukkan hasil memuaskan.
"Sumber air yang keruh di kawasan Sungai Gong kini lebih bersih kerana pengurangan sedimen yang terkumpul.
"Indeks bekalan air di kawasan ini juga mencatatkan peningkatan yang baik berikutan penghasilan air beroksigen semula jadi," kata kenyataan itu di Facebook pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya terus menjaga sumber air mentah supaya tidak tercemar.
"Bagi memastikan kita dapat terus memelihara dan memulihara sumber air mentah ini, marilah kita bersama-sama bertindak segera sekiranya berlaku sebarang insiden pencemaran pada masa akan datang," kata kenyataan itu.
Pelaksanaan Projek Perintis Rawatan Bio-Remediation bertujuan memulihara kualiti Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti peletakan bahan nano teknologi (aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!