Pihak berkuasa India gagalkan cubaan seludup kura-kura ke Malaysia

Hidupan eksotik cuba diseludup itu dijumpai dalam 13 bungkusan kargo udara, yang diisytiharkan mengandungi 230 kilogram ketam hidup.Gambar hiasan
Hidupan eksotik cuba diseludup itu dijumpai dalam 13 bungkusan kargo udara, yang diisytiharkan mengandungi 230 kilogram ketam hidup.Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI - Pihak berkuasa lapangan terbang Chennai, India menggagalkan cubaan menyeludup 1,364 ekor kura-kura spesies Indian Star ke Malaysia.

Hidupan eksotik itu dijumpai dalam 13 bungkusan kargo udara, yang diisytiharkan mengandungi 230 kilogram ketam hidup, lapor media India.

Pegawai kastam pada Selasa bertindak memeriksa bungkusan tersebut selepas memperoleh maklumat tentang cubaan menyeludup hidupan liar, dan kura-kura itu ditemui dalam tujuh kotak.

Hidupan liar itu kemudian diserahkan kepada jabatan hutan negeri Tamil Nadu untuk dilepaskan semula ke habitatnya, kata laporan itu.

Kura-kura Indian star hanya didapati di beberapa kawasan di selatan India, dan dijadikan haiwan peliharaan di beberapa negara Asia Tenggara.

Sebelum ini terdapat percubaan menyeludup kura-kura dari negara itu ke Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!