Ancelotti yakin Hazard mampu kembali ke prestasi terbaik
PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya bintang Belgium, Eden Hazard akan kembali berada pada tahap terbaiknya setelah beraksi baik ketika menewaskan Alcoyano pada aksi Copa del Rey, pada Khamis.
Ancelotti berkata, Hazard yang terpaksa berehat panjang susulan mengalami kecederaan sebelum ini, dilihat sudah mula mendapat ‘rentak’ dan ia dilihat bakal mencetuskan impak buat Los Blancos.
Malah menurut Ancelotti, aksi berdepan Alcoyano itu adalah penampilan kesembilan pemain berkenaan bersama Real Madrid dalam saingan La Liga.
“Bagi saya, Hazarad seorang pemain yang berkualiti dan kebiasaannya pemain yang berkualiti akan mengalami kecederaan lebih lama berbanding pemain-pemain lain.
“Sebab itulah, setelah pulih nanti, Hazard juga perlu kembali dengan kemahiran yang dimilikinya seperti mengelecek, mengawal bola, melakukan percubaan dan lain-lain.
“Selainitu, Hazard dan Rodrygo adalah antara contoh pemain yang berkualiti.
Oleh itu, tidak hairanlah jika kecederaan yang dialami mereka mengambil masa untuk pulih,” katanya.
Pada aksi berdepan Alcoyano, gol-gol Real Madrid dijaringkan oleh Eder Militao pada minit ke-39, Marco Asensio (min-76) dan gol sendiri oleh penjaga gol Alcoyano, Jose Juan pada minint ke-78 manakala Daniel Vega Cintas menjaringkan gol tunggal Alcoyano pada minit ke-66.
Pada perlawanan berkenaan Ancelotti turut merehatkan beberapa tonggak seperti Thibaut Courtois, David Alaba, Dani Carvajal, Luka Modric and Karim Benzema.
Sementara itu, Ancelotti berkata, dia turut berpuas hati dengan aksi dipersembahkan pemain yang diturunkan pada perlawanan berkenaan.
Katanya, semua pemain dilihat telah mempamerkan aksi terbaik masing-masing bagi memastikan kemenangan.
“Semua pemain telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Biarpun lawan berjaya mengikat kita dengan satu gol namun, pemain tetap kelihatan tenang bagi sebelum menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!