Surah As-Sajdah, ajak rakyat “Malaysia bersujud”

Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas,Fazrul Ismail
Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas,Fazrul Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) membuka tirai 2022 dengan memperkenalkan Surah As-Sajdah sebagai surah tema pilihan dalam program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, Surah As-Sajdah berkaitan ketundukan kepada ALLAH Maha Perkasa. Kita sebagai hamba ALLAH SWT menjadikan panduan dan solusi surah tersebut dalam menghadapi ujian pandemik Covid-19 dan banjir pada 2020 dan 2021.

Pengukuhan surah ke 32 ini dibawakan dalam pelbagai program WUIF terutamanya World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention.

“Ayat ke 4 dalam Surah As-Sajdah memperkenalkan ALLAH yang menciptakan, mempunyai kuasa yang besar, melindungi dan menaungi semua makhluk-Nya. ALLAH SWT bukan sekadar mencipta tetapi berkuasa dan menjaganya.

“Semakin kita sedar kehebatan ALLAH, semakin kita tunduk kepadanya. Kita mungkin sudah rutin bersujud secara fizikal kepada ALLAH, tetapi tidak berasakan kekerdilan dan ketundukan tersebut.

“Kita perlu bina rasa kekerdilan, kehambaan dan ketundukan agar ALLAH SWT boleh bantu mengatasi masalah pandemik Covid-19 dan banjir. Jika tidak selesai masalah tersebut, kita masih dapat menghadapi ujian tersebut dengan penuh kekuatan, bukan saling memarahi dan menyalahi antara satu sama lain.”

Beliau berharap Surah As-Sajdah dapat membentuk kerangka fikir dan membina karakter diri kita, seterusnya dalam memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi ujian mendatang dengan bersujud kepada ALLAH SWT.

Contohnya, golongan pemimpin perlu tunduk dengan peraturan ALLAH SWT dan tunaikan tanggungjawab menjaga rakyat. ALLAH SWT memberi pelbagai anugerah, namun jika pemimpin tidak menjaga amanah, mereka dianggap sebagai perosak sebagaimana disebut dalam Surah As-Sajdah.

Artikel Berkaitan:

“Kepada ibu ayah, anak merupakan anugerah dan amanah ALLAH SWT yang berkuasa memberi rezeki dan melindunginya. Mereka perlu menggunakan kuasa yang diberikan oleh ALLAH untuk melindungi dan menghargai anak.

“Cikgu di sekolah contohnya, perlu sedar bahawa anak yang dihantar itu adalah amanah. Kuasa sebagai guru perlu digunakan untuk memahami, menyantuni, melindungi secara fizikal dari segi makan dan minum, serta menaungi daripada dibuli.

“Ini bermakna ALLAH yang Maha Berkuasa meminjamkan kuasa kepada manusia termasuk pemimpin, ibu bapa dan guru. Anak perlu diperkenalkan kepada ALLAH Agar menjadi insan semakin tunduk kepada-Nya pada zaman gajet hari ini.

“Gajet menyebabkan hedonisme yang mementingkan diri sendiri. Ia menjadi punca syirik kepada ALLAH SWT. Puncak syirik adalah kesombongan seperti iblis yang tidak mahu bersujud.”

Katanya lagi, kita tidak mahu generasi muda rasa diri Youtuber dan Instafamous terbaik sehingga rasa sombong. Mereka tidak tunduk dan tidak solat kerana rasa diri boleh teruskam kehidupan.

“Akhirnya, mereka mewujudkan budaya tidak bertuhan walaupun beragama. Kita tidak mahu ia jadi begitu. Jadi sujud menjadi puncak diri bertuhan dan beragama yang perlu dihidupkan.

“Beragama dengan sujud ketika solat adalah ibadah. Pada masa sama, nilai spiritual di sebalik sujud tersebut adalah nilai bertuhan dan beriman. Nilai sujud adalah ketundukan kepada semua perkataan, arahan dan peraturan ALLAH SWT.

“Ini bermaksud kita perlu menjaga amanah seperti tidak merosakkan bumi sebagai tanda orang itu bersujud. Inin bermakna ketundukan adalah dari segi fizikal dan spiritual.

“Harapan saya, Surah As-Sajdah bukan sekadar dibaca, difahami, dikaji, malah perlu dipraktikkan dalam kehidupan kita. Ada tiga nilai praktikal yang disebut dalam surah tersebut adalah bangun malam, berdoa dengan penuh pengharapan, dan berinfak.

“Tidak mungkin seseorang itu tunduk kepada ALLAH Maha Berkuasa tetapi tidak meminta apa-apa kepada-Nya, melainkan dia berjiwa keras, tidak rendah diri dan mementingkan diri.”

Beliau menambah, bangun malam adalah peluang terbaik untuk membina diri. Ia merupakan sesi “me time” bersama ALLAH SWT untuk mendapat kekuatan diri pada malam hari sebagai sumber kekuatan.

“Bagi mereka yang terlalu sibuk dengan duniawi sehingga mengabaikan hubungan dengan ALLAH, akhirnya dia hilang kekuatan untuk menjadi hamba yang tunduk. Lambat laun dia menjadi orang yang sombong dan tidak memberi masa untuk melihat diri.

“Harapan saya kepada semua lapisan masyarakat di negara ini untuk beragama (bersujud) dan mematuhi peraturan (seruan ALLAH SWT) yang membawa kebaikan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook World Quran Hour.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!