Banjir: Sukarelawan bersih 30 rumah

Sebahagian sukarelawan dari Rompin yang turun padang membantu mangsa banjir di Bentong.
Sebahagian sukarelawan dari Rompin yang turun padang membantu mangsa banjir di Bentong.
A
A
A

BENTONG - Sebanyak 30 buah rumah yang terjejas akibat banjir di beberapa lokasi di Bentong selesai dibersihkan oleh sukarelawan misi bantuan dari Rompin.

Penyelaras misi bantuan, Arman Mazlan berkata, usaha itu dijayakan dengan kerjasama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Selendang 1, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Meranti dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan melibatkan kira-kira 120 sukarelawan.

"Misi selama tiga hari itu melibatkan empat buah jengkaut, tiga buah lori kargo, 30 buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas yang membawa sukarelawan. Antara kawasan rumah dibersihkan melibatkan Kampung Karak Setia, Kampung Lengkong, Perumahan Taman Prima Makmur dan kita turut membersihkan Masjid Kampung Karak Setia yang terjejas teruk.

"Kami turut memberikan sumbangan wang tunai dan barangan seperti set kelengkapan solat, dapur gas, beras, toto dan bantal bagi bantu meringankan mereka memulakan semula kehidupan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kata Arman, pihaknya turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pihak masjid serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung terbabit.

Sementara itu, Arman memberitahu, misi bantuan berkenaan mendapat dana dan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan individu perseorangan.

"Antara sumbangan diterima ialah wang tunai berjumlah RM30,000 dan barangan seperti beras, dapur gas, air mineral, al-Quran, sejadah, telekung dan pakaian.

"Alhamdulillah, misi ini berjalan lancar dan kami berharap bantuan ini membantu mangsa banjir untuk bangkit semula," katanya.

Artikel Berkaitan: