Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan dapatkan penjelasan Azam Baki
SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan berhubung dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kontroversi pemilikan saham membabitkannya.
Langkah itu diambil bertujuan mengesahkan kenyataan yang dibuat pemimpin tertinggi agensi rasuah itu sebelum ini, selain mengumpul bukti-bukti yang berkaitan.
SC dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan, di bawah seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.
“Di samping itu, seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga dalam sekuriti hendaklah hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa.
“SC akan berhubung dengan pihak terbabit termasuk Tan Sri Azam Baki untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan,” kata kenyataan itu.
Pada Rabu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Menurut Abu Zahar, hasil penjelasan yang dibuat Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.
Justeru katanya, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' dalam perkara tersebut.
Sementara itu, Azam dalam sidang akhbar sama dilaporkan berkata, tindakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu.
Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.
Tambahnya, adalah tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana individu menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran.
Kontroversi membabitkan Azam semakin panas apabila Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Profesor Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan pada minggu lalu susulan panel berkenan didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Gomez dalam surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Borhan Dolah yang tular di media sosial berkata, keputusan itu dibuat kerana timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak berkuasa’ dan situasi konflik kepentingan membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!