Khairy tolak tuduhan diskriminasi ibadah umrah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menolak tuduhan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendiskriminasikan ibadah umrah selepas memutuskan untuk menggantung sementara perjalanan ke Arab Saudi berkuatkuasa Sabtu ini.

Tegasnya, keputusan dibuat berdasarkan data-data yang diperoleh oleh KKM.

"Saya hendak jelaskan di sini, pengembara yang positif pada minggu epidemiologi (ME) ke-52 iaitu minggu terakhir tahun 2021 adalah sebanyak 1,842 kes yang dikesan di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Daripada jumlah itu, 85 peratus atau 1,558 kes membabitkan pengembara yang pulang dari Arab Saudi," katanya pada sidang akhbar di Parlimen.

Menurutnya, data tersebut menunjukkan kes positif Covid-19 paling tinggi dikesan adalah dari kalangan jemaah umrah.

"Daripada kes positif Covid-19 itu juga, varian Omicron paling banyak dikesan daripada individu yang pulang mengerjakan umrah," katanya.

Beliau berkata, keputusan penangguhan perjalanan umrah itu adalah untuk memperlahankan jangkitan Omicron di negara ini.

"Kita juga dapati 55 daripada 91 jemaah umrah dari agensi pelancongan positif Covid-19 ketika menjalani ujian pra perlepasan penerbangan untuk pulang ke Malaysia dan mereka diisolasi di Arab Saudi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Khairy berkata, 36 kontak rapat kumpulan tersebut tidak diasingkan oleh kerajaan Arab Saudi dan dibenar meneruskan penerbangan pulang.

"Apabila kembali ke Malaysia, 24 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan empat berkemungkinan Omicron," katanya.

Tambah Khairy, pihaknya mempertimbangkan untuk memperketat lagi prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah, contohnya kontak rapat tidak dibenarkan pulang.

Pada perkembangan sama, beliau turut mengumumkan penangguhan sementara perjalanan umrah adalah bagi tempoh sebulan.

"Ini bagi memberi laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara khususnya membabitkan SOP (prosedur operasi standard)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!