Tujuh ditahan dalam serbuan di 'rumah merah'

Antara wanita warga asing yang ditahan Imigresen dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Silang di sini pada Rabu.
Antara wanita warga asing yang ditahan Imigresen dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Silang di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh individu termasuk lima wanita ditahan di sebuah premis 'rumah merah' yang dijadikan sebagai pusat pelacuran di Jalan Silang di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan pada jam 3.30 petang itu, pihaknya telah memeriksa 11 individu.

Menurutnya, ketika serbuan, penjaga premis telah mengunci pintu bagi menghalang Imigresen menyerbu premis berkenaan.

"Kita terpaksa memecahkan dinding premis untuk masuk apabila cubaan membuka dan mengumpil pintu besi yang dikunci tidak berjaya.

"Ketika diserbu, tujuh wanita didapati menyorok di dalam bilik rahsia, tiga pelanggan menyorok di laluan rahsia dan penjaga premis pula menyorok di dalam tangki air," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, premis ini didapati telah dibuahsuai secara haram dengan binaan bilik-bilik untuk melayan pelanggan dan juga laluan rahsia.

"Keadaan di dalam premis agak suram dengan penggunaan pencahayaan berwarna merah dan persekitaran dalam premis yang berbau serta kotor," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menahan tujuh warga asing terdiri daripada tiga wanita warga Indonesia, dua wanita warga India, lelaki warga Nepal yang merupakan penjaga premis dan seorang lelaki warga Myanmar yang juga pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak empat notis untuk hadir memberi keterangan dikenakan kepada dua wanita tempatan yang bekerja di premis itu dan dua pelanggan lelaki," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis pelacuran ini menjalankan operasi dari jam 9 pagi sehingga 9 malam dengan bayaran di antara RM30 hingga RM60 sekali langganan.

"Akuan lisan daripada salah seorang pekerja wanita menyatakan setiap pekerja wanita menerima 10 sehingga 12 orang pelanggan sehari dan lebih ramai pelanggan pada hujung minggu.

"Setiap pekerja wanita juga dikenakan bayaran yuran sebanyak RM25 sehari untuk bilik, kondom, tisu dan pelincir. Bayaran ini perlu dijelaskan kepada penjaga premis setelah tamat waktu bekerja," katanya.

Katanya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua tahanan warga asing akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!