Isu Azam Baki: Rasuah Busters minta LPPR telus, lanjutkan siasatan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hadir sidang media khas di ibu pejabat SPRM. - Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hadir sidang media khas di ibu pejabat SPRM. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah Busters mendesak Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) agar lebih telus dalam perinciannya berkaitan dengan isu dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Sekretariat #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, badan tersebut juga perlu melanjutkan siasatannya dalam menangani isu berkenaan.

Menurutnya, meskipun LPPR telah tampil memberikan penjelasan berkenaan dakwaan tersebut, namun jawapan yang diberikan dilihat mengundang lebih banyak persoalan kepada rakyat.

“Kelemahan siasatan LPPR telah menimbulkan persepsi bahawa SPRM gagal berfungsi secara bebas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang menerusi sidang akhbarnya pada Rabu memaklumkan pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Abu Zahar turut menyatakan tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memandangkan LPPR berpuas hati penjelasan diberikan Azam berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan pemilikan saham dengan jumlah yang melampau.

Mengulas lanjut, Nurhayati turut mengulangi tuntutan pihaknya agar Azam harus bertanggungjawab terhadap SPRM dengan berehat bagi membuka ruang tumpuan bagi memulihkan badan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin

Katanya, langkah berehat itu perlu diambil dan sebarang laporan laporan daripada mana-mana individu atau institusi perlu diteruskan kepada pihak berkuasa melalui saluran undang-undang sedia ada.

Pada masa sama, beliau berkata, tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada SPRM turut perlu dipikul oleh Perdana Menteri dan Parlimen.

Jelasnya, rakyat sebagai kumpulan pendesak juga perlu sedar sebarang ‘slanderous statements’ terhadap institusi awam boleh memprejudiskan sebarang tindakan untuk membawa pesalah kemuka pengadilan.

Sehubungan itu, Nurhayati berkata, setiap dakwaan dan tindakan yang berlaku memerlukan pengesahan dan bukti yang tepat.

“#RasuahBusters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat dan pemegang taruh.

“SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati. Isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan ini. Konflik ini tidak harus ditangani secara emosi.

“Kuasa di tangan kita adalah amanah besar agar seluruh ekosistem Negara ini ditadbir secara jujur dan tulus. Kestabilan sistem inilah yang ingin kita pulih dan sejajarkan bersama perjuangan membangun budaya moral bersama#RasuahBusters agar negara ini bersih daripada belenggu rasuah dan kekal harmoni,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!