Lelaki ditahan lagi, tidak serik jual senjata tiruan
MELAKA - Walaupun mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan senjata api dan pernah menerima hukuman, seorang bekas pemandu kren berusia 37 masih tidak serik menjual senjata api tiruan pasang sendiri (DIY).
Suspek yang aktif menjual senjata berkenaan sejak dua tahun lalu diberkas polis dalam Ops laras 'senjata tiruan' di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah pada Selasa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohamad Ali berkata, dalam serbuan pada jam 1.15 petang itu, pihaknya merampas tujuh laras senapang angin menyerupai senjata sebenar di dalam sebuah bilik.
Beliau berkata, senjata itu dipercayai dijual kepada pelanggan dengan harga RM3,500 bagi setiap laras senapang angin.
Menurutnya, modus operandi suspek ialah dengan mengirimkan bungkusan komponen senapang angin tiruan tersebut berserta peluru kepada pelanggan dengan cara pasang sendiri menggunakan video dihantar menerusi WhatsApp.
"Suspek pernah didakwa di mahkamah berkaitan kes senjata api dan didenda RM4,000, namun dia tidak serik dan berulang melakukan kesalahan sama.
"Hasil ujian tembak bahagian pensenjataan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mendapati senjata tiruan itu boleh mengancam nyawa manusia jika salah digunakan.
"Kita dapati ia bukan peluru biasa, sebaliknya boleh menyebabkan kematian," katanya ketika sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang di sini pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati senjata tersebut tidak dijual kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, polis masih mengesan pelanggan yang terlibat dipercayai luar dari Melaka.
"Senjata tiruan itu dijual melalui kenalan yang bertindak sebagai ejen untuk mencari pelanggan selain dipercayai mendapatkan komponen tersebut dari negara jiran melalui jalan laut.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek direman sehingga Sabtu di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!