‘Tautan Kasih Eratkan Ukhwah II’ selesaikan tiga program masyarakat
SHAH ALAM - Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Pendidikan Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menyelesaikan tiga program khidmat masyarakat secara serentak di Port Dickson, Negeri Sembilan melalui inisiatif ‘Tautan Kasih Eratkan Ukhwah II’.
UUM dalam kenyataan berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut mencapai objektif mahasiswa PACE UUM di bawah Yayasan Bank Rakyat, bagi membantu ketiga-tiga komuniti sasaran berkenaan dalam menaiktaraf prasarana dan kemudahan fizikal penerima sumbangan.
“Program pertama iaitu pemberian bakul makanan telah disampaikan iaitu sumbangan barangan keperluan makanan kepada 10 buah keluarga yang terpilih dari Kampung Bagan Pinang dan Kampung Baru Sri Rusa.
“Jumlah sumbangan yang disampaikan adalah sebanyak RM500 kesemuanya. Penerima sumbangan adalah dalam kalangan golongan B40, fakir miskin dan ibu tunggal yang terjejas terutama kesan daripada pandemik wabak Covid-19,” kata kenyataan itu pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, dalam program kedua, mahasiswa menjalankan aktiviti gotong-royong dan sanitasi sekitar kawasan Surau Al-Hijrah Bandar Springhill, Port Dickson dengan kerjasama ahli jawatankuasa surau.
“Aktiviti ini bertujuan menjaga kebersihan dan keselesaan jemaah surau untuk menunaikan ibadah.
“Di samping itu, sumbangan alat pemijak manual sanitasi turut diserahkan kepada Pengerusi Surau, Ramli Ismail untuk memudahkan para jemaah surau melakukan pensanitasi tangan tanpa sentuh,” ujar kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, sumbangan bantuan disampaikan kepada Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Port Dickson dalam program ketiga.
Menurutnya, sumbangan berkenaan berupa barangan keperluan sekolah untuk 50 orang anak-anak yatim terpilih berumur tujuh hingga 12 tahun.
“Program ini sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Port Dickson bagi anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan untuk tahun 2022,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, kata kenyataan tersebut, sumbangan sebanyak RM3,945 diserahkan kepada Setiausaha Kehormat Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Port Dickson, Mokhtar Ibrahim.
“Jumlah sumbangan yang berjaya diperoleh ini adalah hasil kerjasama mahasiswa atau mahasiswi PACE UUM yang membuat kutipan dana kepada pihak luar terdiri daripada perseorangan dan pertubuhan bukan berkanun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!