SPRM padam video 'MC Boleh Jadi Rasuah', perjelas mesej sebenar

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis memadam video pesanan khidmat masyarakat bertajuk 'MC Boleh Jadi Rasuah' selepas dibidas oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

SPRM dalam satu kenyataan berkata, mesej daripada video tersebut sebenarnya adalah untuk mendidik masyarakat dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi serta menerima rasuah.

"Dalam konteks video ini, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit (MC) palsu dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM menerusi aduan yang dibuat pihak majikan dan orang awam.

"Suruhanjaya ini tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan," menurut kenyataan SPRM pada Khamis.

Media tempatan melaporkan, Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan berkata, video tersebut telah menyinggung perasaan pengamal perubatan dan menggesa SPRM untuk memperbetulkan dahulu diri sendiri susulan dakwaan korupsi membabitkan suruhanjaya tersebut.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, pihaknya amat menghargai pengorbanan dan sumbangan pengamal perubatan khususnya ketika negara sedang berdepan penularan pandemik Covid-19.

"Sehubungan itu, bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan, SPRM mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!