Apa kesan jika kerajaan isytihar darurat bencana?

Lokasi insiden bermulanya pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, hari ini. Foto: Bernama
Lokasi insiden bermulanya pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengisytiharan darurat bencana hanya perlu dilakukan sekiranya kerajaan merasakan perlu membuat suatu tindakan drastik atau mengeluarkan perintah-perintah tertentu dengan segera untuk mengatasi bencana itu.

Peguam, Salkukhairi Abd Sukor berkata, ini kerana menurut Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN), pengisytiharan darurat bencana dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif oleh Perdana Menteri atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Katanya, ia akan tertakluk kepada undang-undang dan tatacara kerajaan yang sedang berkuat kuasa ketika darurat itu.

"Ini bermakna, sekiranya darurat diisytiharkan, kerajaan (Perdana Menteri) boleh membuat atau mengeluarkan, atau menggubal sebarang perintah atau undang-undang yang dipanggil sebagai undang-undang darurat di kawasan yang disytiharkan darurat tersebut, tanpa perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

"Secara automatiknya undang-undang biasa yang terpakai dalam keadaan aman tidak lagi terpakai dalam situasi darurat tersebut sehinggalah pengisytiharan darurat tersebut ditarik balik oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (Gemphar) berkata, apabila darurat berlaku maka setiap arahan dikeluarkan pihak berkuasa terutamanya MKN termasuk arahan berpindah dan arahan untuk menggunakan aset-aset yang lain, wajib dipatuhi.

"Antara langkah akan dilakukan ialah pengambilan tanah dan tempat-tempat persendirian seperti rumah atau bangunan untuk dijadikan pusat pemindahan atau bilik gerakan tanpa kerajaan membayar saguhati atau pampasan kepada pemilik tanah atau bangunan tersebut. Atau mengusir mana-mana pihak daripada premisnya untuk tujuan keselamatan dan sebagainya.

"Darurat juga biasanya akan diisytiharkan jika ramai mangsa enggan berpindah dan memilih untuk kekal di rumah mereka walaupun kediaman tersebut telah diisytiharkan sebagai kawasan berbahaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, dalam tempoh darurat Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan dan memberi kuasa penuh kepada semua agensi di bawahnya untuk melakukan apa sahaja yang dirasakan perlu.

"Tiada seorang pun boleh mempertikaikan arahan dikeluarkan kerajaan mahupun agensi-agensi yang telah diturunkan kuasa kepadanya. Ini untuk memastikan langkah keselamatan dapat dilaksanakan sebaiknya dan berkesan.

"Saya yakin kalau rakyat tahu betapa teruknya situasi dan kesan jika darurat bencana disiytiharkan, sudah pasti rakyat tidak mahu situasi sedemikian berlaku. Ia bukan sahaja akan menyebabkan suasana panik dan kelam kabut keterlaluan dalam negara kita, tetapi akan memberi kesan negatif dan tidak baik kepada pelabur luar," katanya.

Menurut beliau, tiada keperluan terdesak untuk mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang memandangkan kerajaan telah mengambil tindakan sewajarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!