Penduduk kesal penyebaran gambar Kampung Morten jadi pulau
MELAKA - Penduduk Kampung Morten di sini terutama peniaga makanan, kesal dengan penyebaran di media sosial gambar banjir yang berlaku di kampung itu yang dilihat seolah-olah menjadi sebuah ‘pulau’ pada Sabtu lepas (1 Januari).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Morten, Jalina Mahmood berkata, tindakan itu dianggap tidak bertanggungjawab kerana gambar situasi banjir yang diambil dari bangunan tinggi berhampiran, tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Beliau berkata, ia bukan sahaja menggemparkan masyarakat, malah memberi kesan kepada sektor pelancongan di perkampungan tradisional Melayu yang menjadi ikon pelancongan Melaka itu, khususnya peniaga makanan.
"Gambar keadaan banjir yang berlaku di Kampung Morten hujung minggu lepas tidak seperti yang berlaku kerana bukan semua rumah di perkampungan ini dinaiki air, hanya sebahagian kecil sahaja iaitu yang terletak di kawasan agak rendah.
"Lagipun, banjir yang berlaku bukan perkara luar biasa di kampung ini kerana kedudukannya yang bersebelahan Sungai Melaka, menyebabkan air sungai sering melimpah ke kawasan kampung terutama apabila air pasang besar atau hujan lebat terlalu lama," katanya kepada Bernama di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, situasi banjir yang sering berlaku di kampung itu juga tidak berapa serius, hanya beberapa rumah sahaja dimasuki air dan selalunya akan segera surut.
Mengulas kesan penyebaran gambar Kampung Morten menjadi 'pulau' akibat banjir itu, Jalina berkata kebanyakan peniaga terjejas mata pencarian kerana pelancong atau pengunjung tidak masuk ke kampung tersebut terutama pada Ahad lepas dan jumlahnya masih berkurang sehingga hari ini.
Peniaga makanan Amnah Othman, 64, berkata, perniagaannya terjejas dengan penyebaran gambar tersebut kerana tiada pengunjung datang ke kampung itu sama ada untuk melancong atau makan.
"Pada Sabtu lepas, hujan sangat lebat tetapi masih ramai yang masuk ke Kampung Morten untuk berjalan-berjalan atau makan, dan di sini pun ada ‘homestay’ (rumah inap) tetapi apabila tular gambar Kampung Morten jadi pulau, esoknya terus tak ada orang yang berani masuk.
"Memang teruk berniaga pada Ahad lepas dan sampai hari ini masih kurang berbanding sebelum gambar itu tular. Biasanya berderet kereta masuk walaupun pada waktu siang," katanya.
Berkongsi perasaan kecewa dan sedih, Sofian Jaafar, 35, berkata, perniagaan makanan yang diusahakan keluarganya sejak lima tahun lepas turut terkesan disebabkan berita tidak tepat itu.
Beliau yang merupakan anak jati kampung itu berkata penyebaran gambar tersebut menimbulkan rasa kurang selamat kepada pengunjung untuk ke Kampung Morten sedangkan ia tidak seperti digambarkan.
"Mungkin orang percaya Kampung Morten memang jadi pulau, justeru saya mohon kepada masyarakat terutama orang luar supaya tidak menyebarkan berita tidak betul kerana ia menyusahkan kami yang meniaga," katanya.
Penduduk, Salim Abu, 65, berkata banjir yang berlaku hanya melibatkan deretan rumah di Lorong Tun Mamat 1 kerana kedudukannya berhampiran sungai serta beberapa rumah di lorong lain.
"Gambar yang diambil dari atas tidak merakam sepenuhnya kampung ini, hanya fokus di kawasan tepi sungai. Rumah saya di lorong satu tapi di bahagian belakang dan air langsung tidak masuk ke rumah.
"Jadi kami mohon hentikanlah perbuatan viralkan benda tidak tepat ini kerana merugikan ramai orang," katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah memaklumkan kejadian banjir di Kampung Morten pada Sabtu lepas berpunca daripada fenomena air laut pasang besar dan limpahan air Sungai Melaka berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!