Perincikan bantuan untuk elak rakyat bergantung wang KWSP
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memperincikan setiap keperluan rakyat dan jangan ada yang terlepas pandang dari segi bantuan kewangan supaya dapat mengelakkan rakyat terus bergantung kepada pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Penyelidik Kanan DM Analytics Sdn Bhd Zouhair Rosli berpendapat adalah amat penting bagi kerajaan untuk sentiasa menilai sama ada bantuan yang diberikan mencukupi bagi memastikan semua rakyat dapat dibantu dan seterusnya mampu melaksanakan pemulihan yang sekata.
Beliau berkata masih ramai yang menghadapi kesukaran akibat Covid-19 yang berlarutan sehingga kini ditambah pula bencana banjir baru-baru ini yang menyebabkan rakyat amat memerlukan bantuan berbentuk kewangan.
‘’Saya rasa rakyat tahu KWSP adalah simpanan hari tua tetapi mengapa mereka masih mahu membuat pengeluaran? Ini kerana mereka perlukan wang untuk kelangsungan hidup,’’ katanya semasa temu bual Program Malaysia Petang Ini bertajuk Pengeluaran KWSP untuk Pelicinan Penggunaan di Bernama TV pada Khamis.
Beliau berkata, ini menunjukkan masih ramai yang memerlukan bantuan secara berterusan.
‘’Perincian juga penting bagi memastikan bukan ‘orang kelas atasan’ sahaja pulih dan membiarkan rakyat di bahagian bawahan menanggung kepayahan,’’ tambahnya.
Zouhair menegaskan kerajaan juga harus mengelak daripada melakukan perkara yang sama berikutan kesan negatif pengeluaran KWSP kepada masa depan persaraan rakyat.
‘’Kerosakan telah dilakukan dan kerajaan seharusnya tidak membenarkan ada lagi pengeluaran tetapi perlu memberi bantuan yang mencukupi,’’ katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!