Atlet olahraga dapat ‘talian hayat’

Nixson (kiri) antara pelari pecut yang digugurkan daripada mengikuti program latihan MSN.
Nixson (kiri) antara pelari pecut yang digugurkan daripada mengikuti program latihan MSN.
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan terus 'memadam' nama 21 atlet yang digugurkan daripada Program Podium dan Pelapis Kebangsaan.

Sebaliknya, KOM akan memberikan 'talian hayat' kepada kepada atlet terbabit untuk kembali menyertai program berkenaan sebagai persiapan mengharungi tiga temasya sukan utama tahun ini.

Bagaimanapun, Presiden KOM, Datuk S M Muthu berkata, kesemua atlet berkenaan perlu menunjukkan prestasi yang baik sebelum kembali menyertai Program Podium mahupun Pelapis Kebangsaan.

“Memang dalam perbincangan dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN), kesemua atlet yang digugurkan akan diberikan peluang kedua untuk menyertai semula program berkenaan.

“Tetapi mereka perlu membuktikan kemampuan dengan menunjukkan prestasi yang baik untuk disenaraikan semula. Pihak KOM akan membuat penilaian dari masa ke masa.

“Sekiranya ada atlet yang mempamerkan prestasi cemerlang, mereka akan disenaraikan semula. Jadi nasihat saya, tunjukkan kemampuan sebenar untuk kembali dipilih,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Isnin, Muthu memaklumkan pengurangan belanjawan MSN bagi tahun 2021 menyaksikan 21 atlet olahraga digugurkan daripada Pogram Podium dan Pelapis Kebangsaan.

Sebaliknya, Muthu menyatakan hanya 22 atlet Program Podium dan 11 atlet Pelapis Kebangsaan yang dikekalkan bagi menghadapi tiga temasya tahun ini - Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

Artikel Berkaitan:

Antara atlet yang digugurkan adalah ratu pecut dan pemenang dua pingat perak Sukan SEA 2017 (100 meter (m) dan 200m) Zaidatul Husniah Zulkifli dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 acara jalan kaki 10,000m, Elena Goh Ling Yin.

Turut digugurkan pelari pecut, Nixson Kennedy dan Muhammad Aqil Yasmin, Abdul Rahman Lee (lempar cakera), Royson Vincent dan Savinder Kaus (pelari jarak sederhana).

Dalam pada itu, Muthu memberitahu, pihaknya merancang untuk memanggil kesemua atlet berkenaan mengikut fasa bagi menjalani latihan di MSN, Bukit Jalil.

“Namun, perkara ini hanya akan ditentukan oleh pihak MSN bagi memastikan latihan atlet berjalan lancar. Walaupun telah digugurkan, KOM masih mempunyai perancangan terhadap atlet terbabit.

“Bagi saya, panggilan mengikut fasa ini adalah langkah yang baik bagi memastikan kesemua atlet terbabit dapat meneruskan latihan mereka seperti biasa,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!