Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Linggi
SEREMBAN - Mayat seorang lelaki tanpa identiti berusia lingkungan 30-an ditemukan terapung di Sungai Linggi, Kampung Linsum, dekat sini, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan oleh seorang lelaki berhubung kejadian itu kira-kira 1.50 tengah hari.
"Siasatan awal bahagian jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan mendapati tiada kesan atau tanda pada mayat yang ditemukan tanpa pakaian itu yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.
"Mayat itu kemudian diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar di sini pada pukul 5.30 petang tadi untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan pada Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata kertas siasatan mati mengejut (SDR) akan dibuka dan siasatan lanjut masih diteruskan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!