Sasar tingkat pengeluaran O Karipap Premium

Pensijilan halal yang diterima Dakaya Foods bagi produk O Karipap Premium akan memperluaskan lagi pasaran sehingga ke luar negara.
Pensijilan halal yang diterima Dakaya Foods bagi produk O Karipap Premium akan memperluaskan lagi pasaran sehingga ke luar negara.
A
A
A

SEBUT sahaja karipap pasti kita akan terbayang bentuknya yang separuh bulat dengan kelim dan inti kentang di dalamnya.

Namun bagi syarikat Dakaya Foods, penghasilan karipap berbentuk bulat membawa kelainan bagi kuih yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia itu.

Menurut pengasas dan pengurus syarikat tersebut, Mohammad Arif Faisal, idea untuk membuat karipap bulat itu dicetuskan oleh ibunya sejak lebih 30 tahun lalu dengan beberapa bentuk lain seperti empat segi dan bulan sabit.

Katanya, ketika itu setiap bentuk tersebut mempunyai inti dan perasa yang berbeza untuk memberikan inovasi baharu dalam penghasilan karipap.

“Ketika mula kami memperkenalkan karipap berbentuk bulat ini, memang orang sukar nak terima bentuk yang lain dari sedia ada. Namun, lama kelamaan orang mula menyukai kelainan ditampilkan. Bermula dari situ saya bersama rakan tampil dengan idea untuk komersialkan karipap bulat dengan jenama O Karipap Premium,” katanya kepada Sinar Harian.

Mesin yang sedia ada di kilang ketika ini mampu menghasilkan sehingga 400 biji karipap sehari dengan bantuan tiga pekerja.
Mesin yang sedia ada di kilang ketika ini mampu menghasilkan sehingga 400 biji karipap sehari dengan bantuan tiga pekerja.

Mohammad Arif, 45, memikirkan secara serius untuk meluaskan pasaran karipap bulat itu bersama rakan perniagaannya, Effendi Abdul Hamed, 50, sejak tahun 2018.

Menurutnya, ketika itu semua operasi penghasilan produk dilakukan di rumah di Shah Alam sebelum berpindah ke kilang sepenuhnya pada akhir tahun 2019 di Halal Park Tambun, Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tahun 2020 amat getir buat perniagaannya selepas tiga bulan pertama jualan O Karipap Premium mencecah RM12,000 sebulan menjunam sehingga RM1,000 sebulan akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu.

Jelas Mohammad Ariff, Dakaya Foods kini bangkit dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang dengan beberapa perancangan sudah diatur bagi meluaskan pasaran serta memenuhi permintaan termasuk ke luar negara.

“Ketika di Shah Alam kita buat semua secara manual tanpa sebarang bantuan mesin. Selepas berpindah ke kilang baharu, kita mula menggunakan mesin bagi meningkatkan kapasiti.

“Alhamdulillah, tak lama lagi kami akan kembangkan operasi di kilang baharu di Halal Park Tambun yang mampu menghasilkan kira-kira 5,000 biji karipap sehari berbanding hanya 400 biji sahaja pada ketika ini,” katanya.

Dia menjelaskan, makanan itu hampir menjadi sajian para atlet di Temasya Sukan Olimpik Tokyo namun kelewatan mendapat pensijilan halal menyebabkan hasrat tersebut tidak kesampaian.

Bagaimanapun, Mohammad Ariff tidak patah semangat dan dia sedang berusaha untuk membawa produk itu untuk menembusi pasaran China tidak lama lagi.

Dia berkata, telah menerima tawaran untuk mengeksport produk tersebut sebelum tetapi terpaksa ditangguhkan kerana tidak mampu memenuhi permintaan disebabkan kapasiti kilang yang terhad.

O Karipap Premium sedang mengintai pasaran China.
O Karipap Premium sedang mengintai pasaran China.

Selain itu juga, O Karipap Premium akan menampilkan 10 lagi inti baharu antaranya masalla ayam, kurma kambing, sambal ikan bilis, kurma telur dan beberapa perasa lain.

Ketika ini terdapat 10 jenis inti yang dijual iaitu kari ayam, kari daging, kentang, kari ayam keju, kurma daging, kurma ayam, sambal sardin, kari udang, rendang ayam dan rendang daging.

Sehubungan itu, dia berharap agar makanan itu mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Saya mempunyai impian dan harapan besar untuk melihat kuih tradisional rakyat Malaysia ini diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi dengan memberi tambah nilai kepada makanan kegemaran rakyat ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!