Warga No 2 Skuadron TUDM tabur bakti untuk komuniti
SHAH ALAM – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 menjadi detinasi Program Jiwa Murni No 2 Skuadron, Pangkalan Udara Subang bagi tahun 2022.
Program khidmat komuniti yang membabitkan para pegawai dan anggota turut mendapatkan kerjasama akhbar Sinar Harian dan Kelab Syukur Malaysia.
Pegawai Memerintah No 2 Skuadron, Mejar Hassan Basri Tajul Arifin (TUDM) berkata, program tersebut merupakan inisiatif serta aktiviti terancang yang dijalankan bagi mendekati serta meningkatkan hubungan TUDM amnya dan No 2 Skuadron khasnya bersama masyarakat umum.
“Selain tugas utama menjaga keamanan dan keselamatan negara, warga TUDM terutamanya No 2 Skuadron, kami tetap menjalinkan ukhwah dengan masyarakat sekeliling dan Program Jiwa Murni ini adalah sebahagian daripada intepretasi dalam mencapai matlamat itu.
“Di samping itu, ia juga sebagai tanda keprihatinan kami terhadap bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir termasuk juga pihak sekolah yang terkesan dengan bencana alam itu.
“Walaupun sumbangan ini cuma kecil namun kami berharap ia mampu memberikan kesan yang besar kepada pihak pengurusan SMK Seksyen 19,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, semalam.
Sementara itu, pengetua sekolah, Abdul Rahim Khalid menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai, anggota No 2 Skuadron dan para sukarelawan yang sanggup bermandi peluh membantu mengindahkan kembali SMK Seksyen 19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!