Pemuda UMNO gesa SPRM diletakkan di bawah Parlimen

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menuntut agenda pembaharuan institusi disegerakan dengan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan Parlimen.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembaharuan itu dapat memberikan kuasa pelantikan ketua pesuruhjaya sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci ‘due deligence’ dijalankan dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.

Menurutnya, ia juga bagi mengelakkan wujud campur tangan pihak eksekutif sebagaimana amalan hari ini lantaran Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan ketua pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

“Pembaruan ini juga bermakna perkhidmatan KP SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu apabila bekas Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya juga pernah dilantik KP SPRM hanya selepas Perdana Menteri ke-8 daripada PH mengambil alih kerajaan.

“Justeru, hanya dengan menyegerakan agenda pembaharuan institusi, meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan mengelakkan sebarang persoalan negatif berkaitan integriti dan ketelusan melibatkan badan terpenting untuk menangani jenayah rasuah.

“Ia sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat serta persepsi pelabur pada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, pada Rabu Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik beliau iaitu Nasir Baki.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kenyataan hasil siasatan Pengerusi LPPR yang berpuas hati dengan penjelasan Azam tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.

“Kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan KP SPRM pula menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!