Chelsea bakal turunkan ‘barisan kedua’ berdepan Chesterfield
SETELAH dilihat membawa bekalan selesa menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Liga minggu depan hasil kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur, Chelsea dilihat bakal menurunkan ‘barisan kedua’ bagi pusingan ketiga Piala FA, berdepan kelab Liga Kejuaraan, Chesterfield, pada Ahad.
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel berkata, dia tidak mempunyai pilihan hingga terpaksa menurunkan ‘barisan kedua’ berkenaan, apabila sembilan tonggak The Blues, disahkan tidak beraksi berdepan kelab Liga Kejuaraan, Chesterfield bagi saingan Piala FA, Ahad ini.
Menurut Tuchel, kesemua pemain berkenaan disahkan mengalami kecederaan termasuk ada yang disahkan positif Covid-19 serta menyahut panggilan skuad kebangsaan.
“Setelah menang 2-0 ke atas Tottenham Hotspur, kita sekali lagi berdepan dilema apabila bakal beraksi tanpa sembilan pemain dalam saingan Piala FA pula.
“Namun, diharapkan kemenangan ke atas Spurs memberikan semangat kepada pemain untuk terus konsisten mencatatkan kemenangan dan mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Untuk rekod, Chelsea kehilangan khidmat Cesar Azpilicueta, Andreas Christensen, Trevor Chalobah, Reece James, Ben Chilwell, Kai Havertz yang mengalami kecederaan.
Selain itu, penjaga gol utama, Edouard Mendy menyertai tugasan bersama skuad kebangsaan Senegal bagi saingan Piala Negara-Negara Afrika manakala Thiago Silva dan N’Golo Kante pula disahkan postif Covid-19).
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tuchel berkata, kehilangan ramai pemain tonggak kali ini disifatkan sebagai satu cabaran besar buatnya selaku pengendali Chelsea.
Katanya, bagaimanapun kini skuad The Blues itu hanya berharap kepada ‘barisan kedua’ yang bakal beraksi berdepan Chesterfield.
“Informasi terakhir mengenai status pemain-pemain ini hanya diketahui pada sebelah pagi (Jumaat) dan kita tidak sempat melakukan apa-apa.
“Pemain-pemain sedia ada akan tetap diminta memberikan aksi terbaik dan kita memberikan sepenuh kepercayaan kepada mereka kali ini untuk menghasilkan keputusan positif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!