Banjir: Buku teks mencukupi, tidak perlu ganti
SHAH ALAM - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mempunyai bekalan buku yang mencukupi untuk menggantikan buku teks yang rosak akibat banjir bagi sesi pengajaran dan pembelajaran bermula minggu hadapan.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM sebelum ini menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks yang rosak akibat bencana berkenaan.
Beliau berkata, antara soalan yang diterima adalah sama ada kementerian mempunyai bekalan buku teks mencukupi atau tidak, serta perlukah murid membayar ganti rugi bagi setiap kerosakan buku teks yang dipinjamnya.
“Untuk maklumat semua, berdasarkan rekod yang ada pada KPM sehingga hari ini, sebanyak 263,662 naskah buku teks yang rosak akibat banjir dan melibatkan seramai 14,422 orang murid di seluruh negara.
“Berdasarkan rekod tersebut, KPM mempunyai bekalan buku yang mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak dan membolehkan murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu hadapan.
“Murid-murid yang kehilangan buku atau rosak akibat banjir tidak perlu risau kerana tiada pembayaran ganti rugi akan dikenakan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Jumaat.
Mohd Radzi berkata, guru-guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir.
"KPM akan memastikan usaha untuk menggantikan buku teks ini dapat dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi persekolahan minggu hadapan dapat berjalan dengan teratur dan lancar.
"Sama-samalah kita berdoa agar anak-anak yang terjejas akibat banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan dapat kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!