Beli botol arak dari kelab malam, jual arak tiruan

Vijaya (dua dari kiri) menunjukkan antara arak yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Klang Utara pada Jumaat.
Vijaya (dua dari kiri) menunjukkan antara arak yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Klang Utara pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Kegiatan haram sindiket yang membeli botol-botol arak dari kelab malam sebelum memproses dan menjual semula arak berkenaan kepada pelanggan warga asing berjaya ditumpaskan Polis Klang Utara menerusi serbuan di dua buah premis di sekitar Meru di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah D9 IPD Klang Utara berjaya membongkar kegiatan sindiket dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu.

"Serbuan pertama dijalankan di sebuah premis di Jalan Jabar dan berjaya memberkas seorang wanita warga Myanmar dipercayai bekerja di premis berkenaan.

"Pemeriksaan dijalankan turut merampas enam kotak berisi arak pelbagai jenama dan 24 botol arak pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM1,066 dipercayai hasil jualan arak," katanya ketika sidang akhbar di IPD Klang Utara pada Jumaat.

Katanya, penahanan suspek wanita di lokasi pertama membawa kepada penemuan sejumlah besar arak di sebuah rumah yang terletak bersebelahan premis berkenaan.

"Serbuan kedua berjaya menemukan lebih 20 kotak dipercayai berisi arak pelbagai jenama, peralatan memproses arak, gulungan wayar, dapur serta pelbagai peralatan lain.

"Siasatan awal mendapati jumlah rampasan bernilai lebih RM100,000," katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan kemudiannya dibawa ke IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Rampasan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan suspek kini direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Tambahnya, polis kini masih mengesan dua lelaki warga Myanmar berumur antara 30 hingga 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!