Harga ayam dijangka naik awal bulan depan

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

JASIN - Rakyat negara ini perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan golongan penternak terbeban dengan pelbagai kos operasi dan harga dedak import.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna sekali gus akan mewujudkan situasi menang-menang.

Menurutnya, KPDNHEP akan mencari mekanisme terbaik termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menstabilkan harga di peringkat peruncit serta pemborong.

"Sekarang paras harga siling ayam sehingga 4 Februari adalah RM9.10 sekilogram di peringkat peruncit, jadi semalam (Khamis) kita bincang sebab persatuan penternak mengeluh harga ternakan dan kos operasi dikatakan meningkat.

"Sebab itu saya panggil libat urus termasuk MAFI, Agrobank dan Kementerian Kewangan, kita mungkin boleh bantu mereka kurangkan beban kos operasi." katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Rambai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada situasi sekarang harga maksimum siling ayam itu disifatkan rendah dan perlu dipertimbangkan di antara peniaga dan pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Selain jaga pengguna, kita juga perlu menjaga peniaga kalau mereka tidak dapat teruskan operasi, mungkin kita tiada bekalan nanti.

"Kita seharusnya sensitif kepada itu dan saya guna peluang untuk merayu kepada semua pengguna untuk sama-sama memahami situasi ini.

"Bila kita sebagai pengguna nak harga murah tapi kalau di peringkat pengeluaran mereka tak dapat keluar bekalan, kita juga akan mengalami masalah," katanya.

Jelasnya, rakyat diharapkan tidak bimbang kerana pihak kementerian akan terus menjaga kepentingan pengguna selain MAFI akan mengimport ayam bulat sejuk beku.

"Tapi buat masa sekarang ia belum masuk lagi kalau dah ada mungkin bekalan dah banyak jadi persaingan mungkin berlaku dan dengan sendirinya harga mungkin boleh turun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!