Banjir: 485 kakitangan JKM Sarawak siap sedia
KUCHING - Seramai 485 orang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bersiap siaga menghadapi banjir di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, 42 kenderaan milik jabatan itu bersedia digerakkan sekiranya perlu dalam operasi banjir manakala 23 Pangkalan Hadapan Bencana juga telah disediakan bagi menghadapi bencana itu.
“Pangkalan Hadapan Bencana merupakan satu tempat, bangunan atau premis bagi penyimpanan stok barang bantuan bencana di kawasan yang mudah dilanda banjir yang kerap terputus hubungan.
"Barang-barang bantuan akan dibekalkan sebelum musim tengkujuh iaitu dalam lingkungan Oktober setiap tahun dan stok barangan akan disimpan di pangkalan hadapan untuk tempoh enam bulan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Fatimah berkata, 157 pembekal makanan kering dan 231 makanan bermasak untuk mangsa banjir juga telah dikenal pasti.
“Selain itu, kita juga mempunyai depoh simpanan keperluan mangsa bencana di Samarahan. Depoh ini mampu memuatkan 432 tan barang keperluan bencana,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!