Keputusan kerajaan tangguh umrah tepat: Abdul Hadi
MARANG - Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan ibadah umrah buat sementara waktu bagi mengekang jangkitan varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai Omicron adalah tepat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana penangguhan tersebut demi kepentingan awam selepas mendapat nasihat dan penerangan risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Memang dalam sejarah Islam, solat Jumaat pernah ditangguh di Masjid Nabawi sebab wabak.
"Dalam Islam, perkara yang perlu diutamakan manusia ialah agama diikuti nyawa, akal, keluarga dan duit. Duit kemudian sekali.
"Kalau nyawa diancam, kita kena utamakan nyawa dahulu. Jadi, keputusan kerajaan betul sebab mereka mendapat maklumat daripada ahli perubatan termasuk kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.
Kerajaan sebelum ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.
Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!