15,000 keluarga sudah terima Bantuan Selangor Bangkit: MB
KLANG - Seramai 15,000 keluarga menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000 sehingga Khamis.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka penerima dijangka bertambah dan kini sudah memasuki pusingan kedua dengan tumpuan diberikan kepada mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Hari ini juga kita telah memberikan sumbangan RM10,000 (setiap keluarga) untuk enam keluarga mangsa yang meninggal dunia terutama dari kawasan Sri Muda," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan BSB kepada mangsa banjir sempena Majlis Pemberian BSB di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, penerima BSB yang terlibat banjir di Klang ketika ditemui melahirkan kesyukuran apabila kerajaan negeri membantu meringankan beban mereka yang kebanyakannya mengalami kerugian besar akibat bencana tersebut, baru-baru ini.
Seorang mangsa, Chua Choy Weng, 59, dari Taman Botanik berkata, sudah lebih 10 tahun dia menetap di taman berkenaan dan kejadian banjir baru-baru ini merupakan yang terburuk.
"Saya tidak boleh tidur apabila hujan lebat kerana bimbang berlaku banjir besar lagi. Saya rugi kira-kira RM15,000. Walaupun rugi banyak, kami tetap berterima kasih kerana diberikan bantuan ini," katanya.
Nalinda Atilia Nathan, 40, dari Taman Tengku Bendahara Azman, Pandamaran pula berkata, jumlah bantuan RM1,000 tidak mampu menampung jumlah kerugiannya namun ia dapat meringankan sedikit beban dia dan keluarga.
"Kami sekeluarga menanggung kerugian sekitar RM50,000 apabila semua peralatan elektrik dan perabot musnah sama sekali dalam kejadian banjir," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!