Padah potong barisan, 32 disaman JPJ

Anggota UPB mengeluarkan saman terhadap pemandu kereta yang dikesan memotong barisan.
Anggota UPB mengeluarkan saman terhadap pemandu kereta yang dikesan memotong barisan.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 32 saman terhadap pengguna jalan raya yang didapati memotong barisan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Bulatan Seberang Jaya di sini pada Khamis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu di laman Facebook, tindakan saman terbabit diambil oleh Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) menerusi 'Op Potong Q'.

Menurutnya, tindakan memotong barisan di sebelah kiri jalan adalah kesalahan di bawah Kaedah 5, Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

"Penguatkuasaan secara berfokus dilaksanakan kerana didapati banyak pengguna jalan raya gagal mematuhi peraturan lalu lintas tersebut terutama pada waktu puncak sehingga menyebabkan laluan di sebelah kiri jalan terganggu dan menjadi sesak.

"Tindakan segelintir pemandu yang pentingkan diri sendiri serta sikap tidak sabar di jalan raya menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya yang lain serta boleh mengundang risiko kemalangan sekiranya tidak diambil tindakan penguatkuasaan segera," katanya.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya patuh pada peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memastikan pemanduan lancar, selamat serta dapat mengelakkan daripada kemalangan dan kesulitan semasa pemanduan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, JPJ turut mengeluarkan notis terhadap 30 bas yang diletakkan di tepi jalan berdekatan sebuah pasar raya besar di Bayan Baru.

"JPJ menerima aduan awam berhubung perkara itu dan unit operasi telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perkhidmatan awam, bas pekerja dan bas persiaran yang meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan segelintir pemandu yang meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan mengganggu lalu lintas dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!