Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung
PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemui mayat seorang lelaki terapung di kedudukan 6.5 batu nautika barat laut Pulau Terong di sini, pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, maklumat penemuan mayat itu diterima daripada komuniti nelayan setempat yang melakukan aktiviti perikanan di kawasan terbabit sekitar jam 9.05 pagi.
"Pasukan bot ronda Maritim Malaysia bergerak ke lokasi dan menemui satu mayat terapung. Usaha mengangkat mayat tersebut dilakukan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia dengan dibantu nelayan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurutnya, mayat yang ditemui terapung itu lengkap berpakaian namun tanpa sebarang pengenalan identiti.
"Mayat dipindahkan ke bot pasukan penyelamat di muara Sungai Tinggi untuk dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang.
"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!