Raja Bomoh janji tidak ulangi ritual pelik
IPOH - Ibrahim Mat Zin yang digelar Raja Bomoh berjanji tidak akan mengulangi perbuatan mengadakan ritual atau sebarang upacara bercanggah dengan agama dan hukum syarak.
Ibrahim, 71, turut berjanji untuk mematuhi fatwa yang telah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada tahun 2015 mengenai upacara perbomohan yang dijalankannya.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya tidak mengetahui ada fatwa dikeluarkan di negeri ini mengenai amalan perbomohan dilakukannya itu adalah bertentangan dengan hukum syarak.
"(Sebelum ini) saya sebenarnya berjanji dengan Jabatan Agama Islam Wilayah semasa Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi mufti. Saya tidak benarkan buat 'show' (upacara perbomohan).
"Saya tidak tahu pula ada undang-undang ini (fatwa). Apabila saya dapat tahu, sebagai anak Perak, saya akan mematuhinya dan ikut semua fatwa-fatwa yang dikeluarkan JAIPk.
"Jadi untuk akan datang ini saya tak akan buat lagi benda-benda yang tidak baik. Saya buat yang baik-baik saja untuk Perak dan seluruhnya.
"Terima kasih kepada JAIPk yang datang berbincang dan beri kesedaran kepada saya sebab selama ini saya tak tahu," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Perak di sini pada Jumaat.
Ibrahim bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62, yang dikenali sebagai Puteri Zaleha telah dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh susulan satu ritual menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial.
Mereka diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kalangan ahli keluarga.
Ibrahim berkata, pihaknya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada JAIPk berhubung siasatan kes itu dan memaklumkan sudah memberi keterangan kepada jabatan itu pada Khamis.
Menurutnya, anggota penguat kuasa JAIPk telah hadir ke rumahnya sekitar jam 3.45 petang Khamis dan membawanya untuk diambil keterangan bersama Puteri Zaleha yang merupakan sepupunya bermula jam 9 malam Khamis hingga 3 pagi Jumaat.
"Pihak jabatan agama daripada ketua sehinggalah anggota memberi layanan yang sungguh baik kepada, tiada caci apatah lagi menghina.
"Jadi orang ramai janganlah tersilap, penahanan itu dibuat mengikut undang-undang," jelas beliau.
Mengulas mengenai saman RM300 juta pula, Ibrahim bertegas untuk meneruskan tindakan itu terhadap jabatan yang mendakwa dirinya melakukan perbuatan syirik dan khurafat.
"Ada jabatan-jabatan berkenaan yang mengatakan saya tak sihat. Itu telah menjatuhkan maruah saya sebagai raja bomoh, sebab itu saya mahu saman mereka. Jabatan mana, itu saya belum mahu beritahu," katanya.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan negeri telah mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara bomoh yang dilakukan Ibrahim pada tahun 2015 di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.
Fatwa yang diwartakan menyebut sebarang upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Ibrahim menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!