Sidang khas DUN boleh diadakan, tidak ada isu: MB
KLANG - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor boleh diadakan mengikut keperluan jika ada keutamaan.
"Kita tengok kesesuaian, apa yang pastinya (penyelesaian banjir) kita akan laksanakan dengan segera, sumbangan (kepada mangsa banjir) kita dapat laksanakan dan sebagainya," katanya mengulas cadangan supaya sidang khas DUN Selangor dilaksanakan segera.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, di sini pada Jumaat.
Pada Jumaat, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail meminta supaya sidang khas DUN Selangor dilaksanakan segera, susulan bencana banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu.
Beliau berkata, ini bagi membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengemukakan pandangan dan melontarkan cadangan untuk membantu kerajaan negeri mencari langkah terbaik menghadapi bencana seperti itu pada masa depan.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan dua mesyuarat khas Exco kerajaan negeri bersama Majlis Keselamatan Negara telah diadakan iaitu pada 30 Disember dan terbaharu pada 6 Januari.
Beliau berkata, cadangan bagi mengatasi bencana banjir di Selangor akan dibentangkan dalam retreat Exco yang dijadualkan berlangsung pada Februari.
Menurutnya, semua penyelesaian bagi mengatasi banjir akan diambil kira termasuk pembinaan ban, terowong, saliran yang dalam dan pendalaman sungai di kawasan berisiko dilanda bencana tersebut.
"Semua ini diambil kira untuk kita buat penyelesaian menyeluruh supaya banjir dapat dielakkan di masa depan dengan keupayaan sistem saliran kita menampung jumlah hujan dan (limpahan) air yang tinggi merangkumi dua faktor iaitu hujan dan (fenomena) air pasang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!