Penduduk gesa Sungai Langat terus diselenggara

Saliran di Kampung Sungai Sop, Batu 14 di sini ditimbus dengan tanah dan pasir yang dipercayai berpunca daripada pojek pembinaan lebuh raya di sini. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Amirul, Shaharuddin
Saliran di Kampung Sungai Sop, Batu 14 di sini ditimbus dengan tanah dan pasir yang dipercayai berpunca daripada pojek pembinaan lebuh raya di sini. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Amirul, Shaharuddin
A
A
A

HULU LANGAT - Penduduk di Kampung Sungai Sop, Batu 14, di sini menggesa projek mendalam dan melebar Sungai Langat diteruskan untuk mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut.

Salah seorang penduduk di sini, Shaharuddin Ibrahim, 62, berkata, pihaknya pernah bertanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Langat, Edry Faizal Eddy Yusof berkenaan perancangan jangka panjang mengatasi isu banjir yang sering melanda Hulu Langat setiap tahun.

Pertanyaan diutarakan olehnya ketika sesi taklimat yang dihadiri oleh Edry bersama Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Aini Ahmad pada 15 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, Edry memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan untuk meneruskan projek tersebut.

"Kalau masalah ini tidak diutamakan, isu banjir ini tidak dapat diatasi dan akan terus berlaku tahun demi tahun.

"Saya dimaklumkan bahawa pelan pembangunan Hulu Langat akan bermula pada tahun 2023, tapi jika ia bermula dengan keadaan begini, bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam serba kekurangan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Penduduk lain, Muhammad Amirul Amiruddin, 31, berkata, keutamaan projek tersebut sebelum ini berada di tangga kelima dalam pelan pembangunan di Selangor kini jatuh ke tangga ke-35.

Dia yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Penduduk Batu 14, di sini berharap projek penyelenggaraan Sungai Langat diteruskan untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya pernah bertanya kepada ketua kampung tentang perancangan untuk penambahbaikan Sungai Langat, tapi dia beritahu, benda sama (tiada peruntukan).

"Saya musykil mengapa keutamaan projek tersebut jatuh ke tangga 35 dari nombor lima, namun saya harap perkara tersebut terus dilaksanakan," katanya yang bekerja sebagai juruteknik.

Dalam perkembangan lain, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak berkenaan tentang projek penyelenggaraan Sungai Langat tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!