13 nelayan Vietnam ditahan ceroboh, rompak hasil laut negara
PASIR PUTEH - Tindakan 13 nelayan Vietnam yang menaiki dua buah kapal berasingan menceroboh masuk ke negara ini dan merompak hasil laut berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di sini pada Khamis.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot-bot tersebut ditahan dalam dua serbuan berasingan pada jarak 50 dan 51.6 batu nautika dari Muara Tok Bali menerusi Op Khas Kuda Laut.
"Bot pertama kita tahan pada jam 4.35 petang, pemeriksaan ke atas bot itu membawa kepada penemuan enam kru termasuk seorang tekong," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, penahanan bot kedua pada jam 5.35 petang membawa kepada tangkapan tujuh kru termasuk tekong.
Beliau berkata, kesemua warga Vietnam yang ditahan dalam dua serbuan berasingan itu berusia antara 23 hingga 54 tahun.
Syed Nor Adli berkata, selain itu pihaknya turut merampas pelbagai jenis ikan seberat 200 kilogram dan 1,000 liter minyak diesel yang dijadikan sebagai bekalan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, hasil ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah lebih RM1.5 juta," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!