Selepas masalah gajah, tanaman pula rosak dilanda banjir

Abdul Said jelas sedih mengenangkan tanaman kelapa pandan dan pisang berangan yang diusahakan di kawasan seluas tiga ekar di Jalan Nitar itu, rosak selepas kebunnya dinaiki air. - Foto Bernama
Abdul Said jelas sedih mengenangkan tanaman kelapa pandan dan pisang berangan yang diusahakan di kawasan seluas tiga ekar di Jalan Nitar itu, rosak selepas kebunnya dinaiki air. - Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Bagai jatuh ditimpa tangga, itulah peribahasa yang boleh menceritakan nasib malang ditanggung seorang petani di sini apabila tanaman di kebunnya yang sebelum ini rosak diserang gajah liar dan ditimpa penyakit, sekali lagi musnah akibat banjir pula yang melanda sejak Ahad lepas.

Abdul Said Saimon, 54, jelas sedih mengenangkan tanaman kelapa pandan dan pisang berangan yang diusahakan di kawasan seluas tiga ekar di Jalan Nitar itu, rosak selepas kebunnya dinaiki air.

"Rasa terkilan juga kerana saya baru sahaja usahakan tanaman ini kira-kira tiga tahun lepas dan berhasrat fokus sepenuhnya (bercucuk tanam) selepas mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori, November lepas.

"Malah sebahagian pokok kelapa pandan yang ditanam pun belum sempat nak tanam semula selepas pernah diserang gajah liar selain penyakit, sekarang ditimpa bencana banjir pula," katanya ketika ditemui di kebunnya di sini pada Jumaat.

Beliau mengusahakan tanah terbiar milik keluarga isterinya itu dengan menanam kelapa pandan sebagai tanaman kekal dan pokok pisang bagi tanaman singkat dengan mendapat bantuan anak benih daripada Jabatan Pertanian Mersing.

Abdul Said berkata, sebelum ini beliau mendapat insentif dalam bentuk pembangunan infrastruktur seperti pembersihan kawasan dan penyediaan sistem pengairan atau pemberian input pertanian bernilai RM16,000.

"Bagaimanapun daripada 400 pokok pisang berangan yang ditanam sebelum ini, kini hanya tinggal kira-kira 100 pokok sahaja selepas rosak akibat banjir, selain diserang penyakit dan haiwan liar.

“Biasanya pokok kelapa mula berputik dan berbuah dalam masa tiga atau empat tahun namun jika macam ini, (serangan haiwan liar, penyakit dan banjir) tanaman pun jadi 'terbantut', " katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Selain bertani, bapa kepada enam anak itu juga turut membantu isterinya Salinah Selamat, 50, mengusahakan kedai makanan.

Tinjauan Bernama pada Jumaat mendapati kebun itu hanya dapat dilihat dari jauh memandangkan keadaan tanah kebun yang masih lembik dan digenangi air berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di daerah itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!