Banjir di empat negeri bertambah baik

Nik Mohd Aniq Mohd Adnan, 14, (kanan) bersama rakan Mohd Abid Khalis Mohd Roslan, 7, (kiri) terpaksa mendayung sampan untuk keluar dari kawasan kediaman yang masih digenangi air sejak awal November lalu. - Foto Bernama
Nik Mohd Aniq Mohd Adnan, 14, (kanan) bersama rakan Mohd Abid Khalis Mohd Roslan, 7, (kiri) terpaksa mendayung sampan untuk keluar dari kawasan kediaman yang masih digenangi air sejak awal November lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) kian berkurangan petang Jumaat, manakala jumlah mangsa banjir di Sabah tidak berubah.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di Melaka menurun kepada 397 orang pada jam 4 petang Jumaat berbanding 406 orang pada pagi, dengan masing-masing satu dan tiga PPS masih dibuka di Alor Gajah dan Jasin.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, jumlah mangsa banjir menurun kepada 656 orang daripada 189 keluarga di 19 PPS di Pekan, Rompin, Bera dan Maran berbanding 774 orang di 20 PPS tengah hari Jumaat.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan aras air di Sungai Bera, Bera telah melepasi paras bahaya setakat 4 petang Jumaat.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal 55 orang daripada 15 keluarga yang berada di tiga PPS pada Jumaat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, dua PPS di Telupid iaitu Masjid Kampung Gana Jati menempatkan 15 mangsa daripada enam keluarga, manakala Dewan Kampung Maau 20 orang daripada lima keluarga.

PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Paitan menempatkan 20 orang daripada empat keluarga.

Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan berlaku ribut petir di satu dua tempat di Sabah pada malam ini, dengan suhu minimun 22 darjah celsius dan maksimum 31 darjah celsius.

Artikel Berkaitan:

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 4,274 mangsa daripada 1,188 keluarga di 57 PPS setakat 4 petang berbanding 4,346 orang di 58 PPS tengah hari Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, PPS terbaharu yang ditutup di negeri itu adalah PPS Balai Raya Kampung Pudu, Segamat yang ditutup pada 2 petang.

“Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,291 orang, Muar (1,115), Tangkak (814) dan Batu Pahat (54),” katanya menerusi kenyataan, di sini pada Jumaat.

Vidyananthan berkata, cuaca di seluruh negeri Johor termasuk daerah yang terjejas banjir adalah cerah, kecuali Batu Pahat yang mengalami cuaca mendung.

Di NEGERI SEMBILAN, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya enam mangsa banjir daripada dua keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Puom, Jelebu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rosnah Sardi ketika dihubungi berkata, keluarga tersebut telah kehilangan rumah akibat banjir baru-baru ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!