KL Thunder juara Piala Sumbangsih
KUALA Lumpur (KL) Thunder membuktikan regu warga kota itu dalam kelas tersendiri di saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2021/22 apabila menundukkan Bomba Fighters dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Juara STL Premier musim lalu itu yang dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong ternyata bukan tandingan buat Bomba Fighters apabila mudah menewaskan juara STL Divisyen Satu itu dengan keputusan 21-7, 21-14.
Bagi apit kiri, KL Thunder Amirul Zazwan, dia melihat kehadiran penyokong pada perlawanan malam ini selain dibarisi pemain yang sama pada musim lalu sedikit sebanyak membantu pasukannya untuk memenangi Piala Sumbangsih.
“Saya rasa kelebihan buat pasukan kami pada malam ini kerana dibarisi pemain yang sama seperti musim sebelum ini.
“Selain itu kehadiran penonton yang dibenarkan datang ke venue untuk beri sokongan juga bantu kami untuk julang piala pada malam ini,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Kemenangan tersebut secara tidak langsung membolehkan KL Thunder membawa pulang trofi bersama RM5,000.
Aksi seterusnya KL Thunder akan menentang ATM Guardians pada Sabtu manakala Bomba Fighters berdepan Penang Black Panthers pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!