Isu tanah Kampong Bharu: Dakwaan Khalid tidak benar
KUALA LUMPUR - Dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berhubung tiada pertemuan dijalankan antara pemaju dan pemilik tanah Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu, di sini bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, adalah tidak benar.
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menjelaskan, sesi perjumpaan antara Shahidan bersama pemilik diaturkan pada 6 Disember lepas di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, manakala perjumpaan bersama pemaju diadakan 8 Disember lalu, bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di kampung berkenaan.
“Hasil perjumpaan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan meminta pemaju untuk mengkaji semula tawaran atau pakej yang lebih baik untuk diberikan kepada pemilik Kampung Sungai Baru, bagi membantu mereka mendapat sebuah rumah dan wang tunai,” menurut PKB dalam kenyataan pada Jumaat.
PKB memaklumkan pada 10 Disember, pemaju bersetuju menyediakan tawaran baharu dinamakan Pakej Harmoni kepada pemilik unit flat, yang diputuskan jumlah pampasan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTGWPKL), pada sesi siasatan pengambilan tanah.
“Pakej Harmoni menawarkan sebuah unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi yang bernilai RM300,000, dengan jumlah pampasan pengambilan tanah yang diterima oleh pemilik flat dipulangkan separuh kepada pemaju.
“Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250,000 boleh memiliki pakej ini dengan harga RM125,000 sahaja,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut kediaman Pakej Harmoni dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air berserta satu petak aksesori tempat letak kereta, sementara pakej itu bagi pemilik teres pula akan ditawarkan semasa siasatan pengambilan tanah yang diadakan kelak.
Bagi projek pembangunan semula Kampong Bharu dijangka mengambil masa 10 tahun dan dilaksanakan secara berperingkat, bagi memastikan aliran tunai pemaju mampu untuk menampung pelaksanaan pembangunan bagi plot berikutnya dalam tempoh tersebut.
“Pendekatan dan tindakan segera Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini telah menyelesaikan isu pemilik tanah terlibat dengan pengambilan tanah,” menurut kenyataan tersebut.
Pada 5 Disember lepas, Khalid dilaporkan berkata, sehingga kini, tiada pertemuan dibuat antara pemaju dan pemilik tanah Sungai Baru, Kampong Bharu dengan Shahidan bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di kawasan berkenaan.-- BERNAMA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!