FAM... minta tolong jangan bikin 'harimau menangis' lagi
ANDAI mengikut perkiraan atas kertas, hari ini genap sudah 20 hari 'tsunami' melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
Dalam tempoh hampir tiga minggu itu, FAM 'diserang' di segenap penjuru oleh peminat dan penyokong bola sepak Malaysia.
Tidak kira pagi, petang, siang atau malam, FAM menjadi sasaran kecaman dan kritikan 'pemain ke-12' Harimau Malaya.
Apa tidaknya, masing-masing meluahkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dengan prestasi tidak bermaya Harimau Malaya di bumi Singapura. Bagi mereka, kegagalan dalam saingan Piala Suzuki AFF kali ini ternyata sukar diterima.
Bukan hanya gagal melepasi sasaran FAM mara ke pentas final, malah paling mengaibkan Harimau Malaya terkandas di peringkat kumpulan, sekali gus mematikan langkah mereka lebih awal untuk menempah tiket separuh akhir.
Kegagalan itu umpama 'bola tanggung' buat peminat dan penyokong bola sepak Malaysia. Malah, kegagalan itu juga secara tidak langsung membuka peluang kepada pemerhati bebas mahupun pengkritik sukan 'membelasah' FAM habis-habisan.
Keputusan Tan Cheng Hoe melepaskan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya baru-baru ini juga tampak belum meredakan api kemarahan mereka.
Apapun, mereka tetap memberi tabik hormat kepada Cheng Hoe kerana bersikap gentleman.
Atas rasa tanggungjawab dek kegagalan skuad kendaliannya, Cheng Hoe membuat keputusan mengundur diri. Persoalannya, adakah Cheng Hoe seorang yang harus bertanggungjawab sehingga beliau membuat keputusan melepaskan jawatannya?
Namun, ada yang menganggap Cheng Hoe sekadar menjadi 'kambing hitam' atas kegagalan Harimau Malaya. Cheng Hoe seolah-olah menjadi mangsa keadaan yang akhirnya menyaksikan beliau terpaksa menerima hukuman tanpa bicara.
Mungkin itu hakikat yang harus diterima Cheng Hoe biarpun kontraknya masih berbaki setahun. Biarpun pahit, Cheng Hoe harus menerima kenyataan jangka hayatnya bersama Harimau Malaya sudah berakhir.
Kini segala-galanya terpulang kepada barisan kepimpinan FAM. Mahu 'jalan terus' atau mahu 'undur diri'.
Jika diikutkan Kongres Tahunan FAM ke-57, tempoh penggal bagi menggalas portfolio masing-masing akan berakhir pada tahun 2025.
Harus diingat peminat dan penyokong bola sepak Malaysia hanya mahukan keputusan. Keputusan yang dimaksudkan - prestasi skuad negara - tidak kira di peringkat senior mahupun junior asalkan ia mampu memuaskan hati mereka.
Jika tidak, FAM sudah tahu 'azab' yang akan menanti mereka. Itulah yang sedang FAM hadapi sekarang - kritikan dan kecaman. Entah bila cerita tragis bola sepak Malaysia ini akan menemui titik noktahnya.
Pada ketika kita melihat beberapa negara jiran tetangga seperti Thailand, Vietnam mahupun Indonesia gah mengorak langkah ke depan, malangnya bola sepak Malaysia dilihat agak mengundur ke belakang.
Jika tiada perubahan drastik dibuat barisan kepimpinan FAM, bukan sesuatu yang mustahil dan tidak juga mengejutkan jika suatu hari nanti, Harimau Malaya mudah diratah negara-negara kerdil Asia Tenggara seperti Laos, Kemboja mahupun Brunei.
Ibarat kata pepatah Melayu lama, nasi sudah menjadi bubur. Kegagalan di Singapura sudah menjadi satu lagi sejarah hitam dalam arena bola sepak Malaysia.
Kegagalan itu menjadi satu pengajaran yang cukup berguna kepada FAM.
Buat barisan kepimpinan FAM, minta tolong 'jangan bikin harimau menangis lagi'.
Kembalikan semula taring Harimau Malaya seperti mana yang pernah terpateri dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia sekitar tahun 1970-an dan 80-an dulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!