Rasuah bala besar umat Islam: Sultan Sharafuddin
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menggesa umat Islam di negeri ini memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat mengenai gejala rasuah yang dibacakan oleh khatib di masjid seluruh negeri ini pada Jumaat.
Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, baginda bertitah rasuah sangat berbahaya dan merupakan bala besar.
"Memetik antara isi khutbah berkenaan, rasuah sesuatu yang memudaratkan masyarakat (terutama) orang Islam dan meletakkan pengurusan serta pentadbiran menjadi tidak stabil," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Kenyataan itu memberitahu, rasuah berlaku dalam semua urusan termasuklah kehakiman, tanah, percukaian, zakat dan lain-lain, malah dalam perkara melibatkan agama dan orang agama.
"Oleh itu, ALLAH mengharamkan rasuah dan melaknat pelakunya kerana bahayanya yang besar, maka tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh mengambilnya.
"Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh juga seseorang pegawai mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga darinya," ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, amalan rasuah juga melibatkan orang-orang agama, sedangkan mereka mengetahui hukumnya haram dan berdosa besar tetapi kerana habuan dunia itu mengasyikkan maka hilanglah sikap amanah, jujur serta keikhlasan yang tertanam dalam sanubari mereka selama ini.
"Orang yang diharapkan dapat menjaga maruah diri dan agama bahkan sentiasa menyeru masyarakat dalam melakukan kebaikan boleh hanyut dan melanggar larangan ALLAH.
"Oleh itu, baginda bersetuju dengan saranan di dalam khutbah berkenaan agar rasuah mestilah dibanteras oleh pemerintah dengan mengenakan hukuman yang lebih tegas agar mereka menjadi gerun dan takut.
Justeru, kenyataan itu menegaskan, dalam menangani kes rasuah pemerintah hendaklah lebih memfokuskan kepada langkah pencegahan sebelum terjadinya kes jenayah rasuah tersebut.
"ALLAH menceritakan di dalam al-Quran bahawa ada seorang alim, mereka mengakui kebenaran Muhammad SAW tetapi disebabkan rakus terhadap dunia, mengikut hawa nafsu, ingin kekuasaan dan kekayaan, syaitan telah menggoda mereka hingga tergelincir dari agama yang benar.
"Ingatlah, orang alim apabila dia derhaka kepada ALLAH, ALLAH umpamakan dia seperti anjing sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah Al- A’raf ayat 176," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!