Klopp yakini pemain muda bawa cabaran The Reds
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan The Reds bakal menurunkan sebahagian besar pemain muda pada aksi pusingan ketiga Piala FA berdepan Shrewsbury di Anfield pada Ahad.
Menurutnya, sebahagian besar pemain muda daripada skuad bawah 18 tahun yang dikendalikan oleh Marc Bridge-Wilkinson bakal membarisi kesebelasan utama pada aksi berkenaan susulan ramai pemain The Reds, termasuk dirinya sendiri serta pembantu jurulatih, Pep Lijnders menjalani proses isolasi.
“Minggu ini, kami akan diwakili oleh sebahagian besar pemain muda untuk beraksi dalam saingan Piala FA berdepan Shrewsbury.
“Dua tahun lalu kami terikat 2-2 pada pusingan keempat sebelum menang 1-0 pada perlawanan ulangan.
“Oleh itu, diharapkan, barisan muda yang beraksi pada Ahad dapat memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.
Untuk rekod, gara-gara jangkitan Covid-19 mula merebak, Liverpool dilaporkan telah menutup padang latihan, Selasa lalu selain memohon untuk menunda aksi separuh akhir pertama Piala Liga berdepan Arsenal ke tarikh lain.
Bagaimanapun, Klopp dan Lijnders yang diperintahkan menjalani proses isolasi kerana disyaki positif Covid-19 setelah menjalani ujian, dilaporkan tetap berusaha bagi mempersiapkan pasukan untuk beraksi bagi saingan Piala FA kali ini.
Sementara itu Klopp yakin barisan muda yang diturunkan kelak mampu memberikan cabaran dan seterusnya menghasilkan keputusan positif.
“Walaupun masih muda, pemain-pemain ini dilihat begitu bersemangat dan bersedia untuk mengharungi perlawanan ini.
“Oleh itu, saya optimis mereka (pemain muda), mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan Liverpool mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!