Bekas Timbalan Ketua Polis kongsi kisah polis di media sosial
KUALA LUMPUR - Selepas 35 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan polis, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berhasrat untuk terus mengangkat martabat polis melalui penulisannya yang akan di kongsi di media sosial.
Menurutnya, ketika berkhidmat beliau bukanlah seorang yang aktif di media sosial, namun selepas bersara dia akan menggunakan platform itu untuk berkongsi cerita tentang dunia polis kepada umum dan untuk bacaan rakan-rakan dalam pasukan yang ditinggalkannya.
"Saya akan menulis tentang pengorbanan yang dilakukan oleh polis dan keluarga. Kita lihat kepada sejarah, betapa besar pengorbanan mereka jika mahu dibandingkan dengan apa yang saya lakukan.
"Saya rasa masyarakat umum mesti tahu setiap pengorbanan polis dan menghargainya. Dalam masa yang sama melalui penulisan itu kelak, saya harap ia akan dapat membakar semangat anggota dan pegawai polis agar terus ikhlas dan berintegriti dalam melaksanakan amanah dipikul," katanya.
Bapa kepada empat orang anak dan datuk kepada lima orang cucu itu memberitahu, beliau akan mula mengeluarkan catatan pertamanya pada Mei depan.
"Lepas bersara ni, saya nak rehat dulu sebulan, lepas tu akan mula menulis dan akan dimuat naik di media sosial atau blog saya.
"Mungkin ini cara saya untuk terus dapat berbakti kepada negara dan pasukan saya," katanya.
Noor Rashid memberitahu, sepanjang berkhidmat sehinggalah bersara, beliau tidak pernah menyesal menganggotai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Saya tak pernah menyesal menjadi polis malah saya dapat belajar dan matang lebih daripada apa yang fikirkan sebelumnya.
"Menyertai polis, sama sekali mengubah kehidupan saya dan keluarga. Dari seorang budak kampung biasa, kepada seseorang yang perkhidmatannya diberi penghargaan dan itu merupakan satu penghormatan untuk saya dan keluarga," katanya yang juga akan menceburkan diri dalam bidang pertanian bagi mengisi masa selepas bersara.
Noor Rashid, 60, mula menyertai PDRM pada Januari 1984 dan bertugas di pelbagai jawatan. Kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Disember 2014.
Beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Mohd. Bakri Mohd Zinin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!