Kaji semula penyelarasan elaun atlet ikut kes

Ti Lian Ker. - Foto Bernama
Ti Lian Ker. - Foto Bernama
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) diminta supaya meneliti penetapan elaun bulanan atlet kebangsaan di bawah programnya pada tahun ini mengikut kes.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pengurangan elaun secara serentak kepada semua atlet, dilihat tidak praktikal buat atlet yang mengikuti latihan sepenuh masa tanpa mempunyai sumber pendapatan lain.

"Saya rasa MSN akan memberi kajian teliti berdasarkan kes, jadi kita serah pada msn untuk melihat dan mengkaji perkembangan terkini.

"Kalau memang ada masalah pada atlet, semestinya msn akan melihat perkara tersebut, dan memberi keperihatinan sewajarnya,” katanya selepas pelancaran final Kejuaraan Esports Malaysia (MEC) 2021/2022 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengumumkan penyelarasan semula elaun dilakukan susulan keadaan semasa ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, selain bencana alam melanda negara baru-baru ini.

Ia menyaksikan pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa menerima nilai sama berjumlah RM800, manakala RM800 buat atlet senior dan RM500 buat atlet pelapis yang berada dalam program tetapi tidak meraih pingat.

Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa), manakala RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa).

Sementara itu, Lian Ker turut menjelaskan bahawa bukan semua atlet bergantung sepenuhnya kepada elaun yang mana atlet mempunyai kerja lain, ia hanya menjadi insentif tambahan.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, jika mereka seorang guru, gaji sebagai guru tetap berjalan di samping elaun tambahan dari msn. Di samping itu, mereka juga mendapat makanan dan penginapan percuma di msn (buat atlet yang menginap di msn)," katanya.

Beliau berkata, keputusan pemotongan elaun itu dibuat berdasarkan pengurangan bajet dan penajaan buat MSN.

Dalam pada itu, sebanyak 22 pasukan dan empat pemain individu bakal beraksi pada pusingan akhir MEC 2021/2022 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bagi merebut hadiah wang tunai sejumlah RM100,000, selepas mengharungi peringkat kelayakan dan playoff selama tiga minggu.

Sebanyak empat permainan dipertandingkan, iaitu FIFA 22, DOTA 2, Mobile Legends: bang Bang dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!