Iktiraf bonsai sebagai satu industri

Datuk Pui Khiang Khang ketika merasmikan Pertunjukan Malaysia Bonsai Suiseki Show 2022 pada Sabtu.
Datuk Pui Khiang Khang ketika merasmikan Pertunjukan Malaysia Bonsai Suiseki Show 2022 pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia (MBSS) berharap agar penanaman bonsai dijadikan sebagai satu industri dan hobi yang dikenali serta disertai ramai dalam negara ini.

Timbalan Presidennya, Wan Kamarudin Wan Zakaria berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi cuaca yang sesuai untuk tanaman tersebut selain kos penjagaannya murah.

“Di negara luar, bonsai diiktiraf sebagai satu industri. Malaysia sepatutnya mengambil peluang dengan kelebihan yang ada. Dengan sokongan kerajaan, kita boleh jadikan bonsai sebagai satu industri di negara kita.

"Sebenarnya, kos penjagaan tanaman ini tidak semahal seperti pokok lain yang kita jangkakan. Cuma, masa penjagaannya agak lama,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Pertunjukan Malaysia Bonsai Suiseki Show 2022 pada Sabtu.

Turut hadir, Presiden MBSS, Datuk Pui Khiang Khang yang merasmikan pameran tersebut.

Pameran berkaitan bonsai tersebut berlangsung di Pavillion Bukit Bintang bermula 8 Januari sehingga 18 Januari.

Mengulas lanjut, Wan Kamarudin berkata, penanaman bonsai juga berjaya merapatkan jurang antara kaum.

Jelasnya, kini bukan sahaja ia sebagai hobi masyarakat Cina, namun Melayu, India dan sebagainya turut membuat perkara yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya program seperti ini, ia membuka ruang kepada semua kaum melibatkan diri.

“Kita sebenarnya bermatlamat membawa bonsai dekat dengan semua masyarakat. Kita mahu tukar persepsi masyarakat yang tanaman ini bukan hobi untuk golongan tertentu.

“Kita mahu memberi ruang yang luas kepada semua orang untuk hadir dan kenal lebih lanjut apa itu bonsai,” ujarnya.

Jelas beliau, pameran tersebut juga berperanan untuk memberi kesedaran berkenaan tanggungjawab kepada alam sekitar.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar. Sebab sekarang ini sudah banyak tumbuhan pupus akibat pembangunan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!