Lelaki maut dirempuh MPV elak lori
GOPENG - Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai ketika cuba mengelak sebuah lori yang tiba-tiba membelok masuk simpang di KM15.3 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa Win Alang, 35, dari Taman Gopeng Jaya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati MPV jenis Toyota Wish berkenaan dalam perjalanan menuju ke Ipoh.
"Setibanya di tempat kejadian, tiba-tiba datang sebuah lori dari arah bertentangan terus membelok masuk ke kanan.
"Pemandu kenderaan terbabit cuba mengelak lalu masuk ke laluan bertentangan dan terus melanggar mangsa yang sedang berhenti di persimpangan jalan," katanya.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk bedah siasat.
"Pemandu Toyota Wish yang juga pegawai tentera berusia 52 tahun mengalami kecederaan ringan selepas kenderaannya terbalik dalam kejadian itu.
"Lelaki berkenaan turut mendapat rawatan di hospital sama dan kes ini disiasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!