Lori terbalik, buah sawit bertaburan di LPT1
KUANTAN - Sebuah lori sarat muatan buah kelapa sawit terbalik selepas merempuh lori tunda yang berada di kedudukan melintang di Kilometer 206.7, Lebuh Raya Pantai Timur Satu (LPT1) menghala ke barat pada Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu turut mengakibatkan muatan yang dibawa bertaburan di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori tunda berusia 39 tahun dari arah Gambang menghala ke Temerloh secara tiba-tiba hilang kawalan di lokasi kejadian.
Menurutnya, lori terbabit seterusnya terbabas dan melanggar besi tengah penghadang jalan serta berkedudukan melintang di atas jalan tersebut.
"Kemudian pemandu lori sawit berusia 27 tahun datang dari arah yang sama telah melanggar lori tunda dan sebuah lagi kenderaan menyebabkan lori muatan sawit itu terbalik.
"Bagaimanapun kesemua pemandu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada tengah hari Sabtu, tular satu video berdurasi 45 saat yang memaparkan lori sawit terbalik bersama beberapa kenderaan lain.
Beliau menjelaskan hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lori tunda yang gagal mengawal kenderaan ketika memandu.
Katanya, cuaca baik dan permukaan jalan kering semasa kemalangan serta tahap pencahayaan gelap pada waktu pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!