PGA rampas barangan kosmetik seludup

Batalion 7 PGA Kuantan merampas pelbagai barangan kosmetik yang diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah bernilai RM7,397 di pangkalan haram Kak Mah, Rantau Panjang pada Sabtu.
Batalion 7 PGA Kuantan merampas pelbagai barangan kosmetik yang diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah bernilai RM7,397 di pangkalan haram Kak Mah, Rantau Panjang pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai barangan kosmetik yang diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah bernilai RM7,397 di pangkalan haram Kak Mah di sini pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan jam 8 pagi itu hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh pasukan tersebut di kawasan penugasan Op Benteng Covid-19.

"Semasa rondaan di sekitar pangkalan haram Kak Mah, anggota bertugas telah ternampak beberapa lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari sebuah perahu ke atas tebing sungai dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, semasa menghampiri lokasi untuk tujuan pemeriksaan kumpulan lelaki itu telah bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi telah menjumpai beberapa kotak yang berisi pelbagai jenis barangan kosmetik.

Azhari berkata, kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 7 (1) (a) Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984," katanya.

Menurutnya, PGA menerusi Op Benteng Covid-19 akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dalam mengekang aktiviti penyeludupan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PGA sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang terlibat dengan jenayah rentas sempadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!