Mayat bayi baru lahir ditemui bawah flat
KUALA LUMPUR - Penduduk Blok A, Flat Danau Kota, Setapak, di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan pada Sabtu.
Penemuan mayat bayi yang cukup sifat itu turut tular di media sosial didakwa dibuang dari tingkat atas kediaman tersebut.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam sekitar jam 8.12 pagi.
"Mayat bayi telah dijumpai di kawasan rumput dan beralaskan papan kayu berhampiran Blok A Flat Danau Kota, Jalan 3/23D Danau Kota Setapak.
"Hasil penemuan di tempat kejadian mendapati mayat yang dijumpai dipercayai berumur sehari, jantina perempuan dan bangsa tidak pasti.
"Mayat bayi tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (Menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit).
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!